Keputusan Pemilihan kepimpinan Pas, terutama kejayaan Nasharudin Mat Isa mempertahankan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden telah menepati ramalan saya dalam artikel sebelum ini bertarikh 31 Mei, 2009. Beliau yang memperolehi 480 undi mengalahkan Dato’ Husam Musa yang mendapat 281 undi dan Mohamad Sabu 261 undi.
Kemenangannya yang agak selesa sebenarnya agak mengejutkan banyak pihak yang menjangka pertembungan sengit atau yang menjangka kemenangan untuk Husam.
Di sudut yang lain, kemenangan Nasharuddin bukanlah kemenangan mutlak kerana kegagalan beliau mendapat undi majority. Malah kemenangan ini sedikit sebanyak kerana tiada pencabar lain dari golongan ulama. Kegagalan mendapat undi majority boleh ditakrifkan atas sebab ramai perwakilan yang masih kurang senang dengan peranan beliau dalam muzakarah dengan UMNO.
Undi yang di perolehi Husam juga menunjukkan pengaruh beliau setakat ini belum lagi kuat. Malah beliau hanya mampu mendapat undi hampir sama dengan Mohammed Sabu, seorang pemimpin yang tidak dipandang begitu serius oleh Masyarakat Melayu.
Dalam senario begini, kita nampak keikhlasan kumpulan ulama Pas bersatu berdiri dibelakang Presiden dan Timbalannya serta kematangan sikap perwakilan yang terus menyokong mereka. Dengan kejayaan golongan ulama menepis cabaran kumpulan Erdogan yang setia dengan agenda Pakatan Rakyat, maka setakat ini PAS akan terus berada di landasan yang asal memperjuangkan Islam dan Bangsa Melayu.
Kemenangan seorang lagi ulama, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pemilihan Naib Presiden, dan kajayaan seorang lagi ulama menyandang jawatan ketua pemuda akan memperkukuh kedudukan dan pengaruh mereka dalam parti.
Dengan kemenangan ini, dijangka Pas akan tetap kekal mendapat tempat di hati masyarakat Melayu.
Kemunculan kumpulan Erdogan yang dilihat terlalu taksub kepada Anwar Ibrahim telah dijangka dan banyak disentuh dalam artikel terdahulu iaitu Pertembungan Dua Prinsip dalam Pas bertarikh 3 November, 2008. Mereka nampaknya sahabat sahabat yang mementingkan agenda peribadi Anwar dan sanggup mengenepikan landas perjuangan Pas yang asal.
Sungguhpun mereka gagal kali ini, kumpulan ini pasti terus memperjuang agenda mereka, apalagi ramai juga dikalangan mereka yang berjaya menduduki kerusi dalam Majlis Tertinggi Pas.
Oleh itu ahli ahli pas, terutama kumpulan ulama, diharap akan terus waspada bagi mempertahankan prinsip perjuangan parti bagi mengekalkan tempat istimewa Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Sekian, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DAH Ikhwan
0 responses so far ↓
There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.