Keputusan Pakatan Rakyat menolak cadangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang tentang pembentukan Kerajaan Perpaduan memang sudah dijangka. Ini kerana dua buah parti yang lebih dominan dalam Pakatan Rakyat, ia itu DAP dan PKR sejak awal awal lagi menentang cadangan ini dengan sekeras sekerasnya.
Parti DAP menentangnya pasti kerana cadangan ini akan mengukuhkan perpaduan Melayu yang tidak menguntungkan parti tersebut. PKR pula menentangnya kerana PKR, seperti DAP bukanlah sebuah parti Melayu, jadi semestinya wakil wakil bukan Melayu menentangnya atas sebab sama seperti DAP.
Dalam keadaan demikian PAS berada dalam keadaan serba salah, sungguhpun cadangan Kerajaan Perpaduan ini diilhamkan oleh Presidennya sendiri, atas dasar memelihara perpaduan Melayu dan kepentingan Agama Islam, sejajar dengan landasan perjuangan PAS.
Sesungguhnya PAS kini berada di persimpangan dilema sejak ia bersekutu dalam Pakatan Rakyat. Disatu sudut kemenangan PAS dalam Pilihanraya 2008 adalah atas sebab sokongan padu dari kaum Cina dan India yang bukan Islam. Disudut yang lain kubu PAS selama ini terletak di kawasan penduduk Melayu Islam, dan mereka pasti terdiri daripada Masyarakat Melayu Islam yang konservatif. Dalam berusaha mengekalkan undi bukan Islam, ia juga terpaksa menjaga hati pemimpin sekular seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang.
Dilema ini belum nampak menimbulkan masalah kepada PAS sejak pilihanraya lepas, tetapi dalam masa empat tahun lagi keadaan mungkin berubah. Agaknya inilah yang membimbangkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi kerana dengan terus terikat dengan Pakatan Rakyat yang bukan dikuasai Melayu dan Islam, pengaruh Parti tersebut dalam kawasan tridisinya di Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis sedikit sebanyak akan tergugat. Pengundi pengundi Cina pula bukanlah undi setia, kerana ia mudah beralih kepada BN, terutama dengan polisi kerajaan yang lebih terbuka kini. Begitu juga undi kaum India, sebahagiannya pasti akan kembali kepada BN, kerana tidak mustahil jika sentiment mereka berubah dalam masa empat tahun lagi.
Usaha Tuan Guru Abdul Hadi mengilhamkan cadangan Kerajaan Perpaduan adalah sebaik baiknya untuk PAS dari kaca mata Melayu Islam. Saya pasti di hati kecil Abdul Hadi dan para Ulama Pas mereka sungguh keciwa dengan keputusan Pakatan Rakyat. Tetapi beliau diibaratkan terpaksa menelan ludah sendiri demi mengelakkan perpecahan dalam PAS, atau penentangan terbuka keatas pucuk pimpinan beliau. Kalau tidak manakan beliau sanggup mengenepikan prinsip politik beliau sendiri.
Akibatnya PAS terjebak semakin jauh di dalam dilemanya. Sebaliknya peristiwa ini tidak akan menjejas UMNO, malah mungkin mengukuhkan kedudukannya di kalangan masyarakat Melayu Islam.
Pendapat Tun Mahathir, Kerajaan Perpaduan sebenarnya tidak sesuai di Malaysia.Ini kerana jika Kerajaan Perpaduan hanya untuk menjaga perpaduan Melayu, ia hanya memerlukan UMNO dan Pas dan Parti Bumiputera yang lain, tanpa memerlukan kaum Cina dan India. Ini sudah cukup untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan, tetapi pasti akan memburukkan lagi masalah polarisasi kaum.
Beliau menambah, jika sebaliknya kerajaan perpaduan untuk seluruh rakyat Malaysia, maka semua parti yang ada perlu turut serta. Akibatnya kerajaan tanpa pembangkang, dan ini juga tidak baik kerana tanpa pembangkang, keadaan begini boleh menggalakkan lebih banyak amalan buruk dalam kerajaan.
Jadi, Kerajaan Perpaduan yang di cadangkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sebenarnya hanya terbaik untuk PAS dalam keadaannya yang agak kukuh sekarang, bagi memastikan ia tidak terkeluar dari landasan perjuangannya. Tuan Haji Abdul Hadi sungguh bijak orangnya, tetapi apakan daya cadangan ini tidak dapat diterima oleh rakan rakan yang lebih dominan dalam Pakatan Rakyat dan tidak pula begitu diperlukan oleh Barisan Nasional.
Sekian wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
DAH Ikhwan
0 responses so far ↓
There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.