Suruhanjaya Pilihanraya baru sahaja mengumumkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos dan tarikh pengundian pada 25 Ogos.
Untuk makluman pembaca, Permatang Pasir adalah sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dengan bilangan pengundi sejumlah 20,350 orang, terdiri daripada Melayu 72.32%, China 25.94% dan India 1.61%.
Kawasan ini merupakan salah satu daripada tiga buah kawasan DUN dalam Kawasan Parlimen Permatang Pauh. Seperti yang kita sedia maklum, seperti juga Permatang Pauh, kawasan Permatang Pasir juga sebuah kubu Pakatan Rakyat, pasti dibawah pengaruh besar Anwar Ibrahim.
Di bawah kita perturunkan jadual menunjukkan rekod Pilihanraya Kawasan Permatang Pasir:

Jadual di atas menunjukkan Kawasan ini dimiliki oleh BN pada Pilihanraya Tahun 1995, tetapi selepas itu menjadi milik PAS, dengan kerusi dipegang oleh Allahyarham Hamdan bin Abdul Rahman, selama tiga penggal berturut turut.
Pilihanraya kecil ini amat penting sebagai tanda arus politik negara, samaada kecenderungan pengundi Melayu beralih kepada BN di Manek Urai akan berterusan. Jika ia berulang, ini merupakan satu lagi petanda baik kepada BN. Kehadiran undi Cina sebanyak 25.94% pula boleh dijadikan tanda pengukur sambutan masyarakat Cina kepada kepimpinan Dato’Seri Najib.
BN tidak payah menang di kawasan Permatang Pasir. Kemenangan moral
sudah mencukupi jika undi Barisan Nasional dapat meningkat menghampiri 7% percentage point, menyamai pencapaian di Manek Urai, di mana undi BN meningkat daripada 42% dalam pilihanraya umum 2008 kepada 49% dalam pilihanraya kecil tahun ini.
Malangnya, ‘kejayaan’ BN di Manek Urai tidak semudah di ulangi di Permatang Pasir memandangkan pengaruh Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen di Kawasan ini. Walaupun kerusi ini di Pegang oleh parti PAS, sebenarnya pengaruh Anwar dan PKR jauh melebihi PAS di kawasan ini. Ini kerana pada pilihanraya tahun 1994, PAS tanpa Anwar dan Pakatan Rakyat hanya mampu memperolehi 20% undi berbanding 70% dalam pilihanraya tahun 2008.
Isu isu dijangka berkisar kepada personaliti dan prinsip politik Anwar. Tetapi ini bukan suatu strategi kempen BN yang mudah, kerana di sini BN perlu mengambil kira sokongan bukan sahaja pengundi Melayu, tetapi juga dari masyarakat Cina.
Jika BN menggunakan strategi menghantam peribadi Anwar, ada kemungkinan ini menarik undi simpati, seperti terbukti di Permatang Pauh baru baru ini. Saya rasa strategi memfokus sasaran kepada prinsip politik Anwar yang mengenepikan hak hak Melayu akan lebih berkesan untuk BN.
Ada juga kemungkinan undi kaum Cina akan bertambah untuk BN sebagai tanda penghargaan mereka kepada dasar liberalisasi Dato Seri Najib. Disebalik itu, undi Cina sukar diramal, kerana boleh diagak pengundi Cina tidak ingin mengurangkan kerusi Pakatan Rakyat yang memerintah Pulau Pinang sekarang.
Walaubagaimanapun, saya rasa undi BN akan bertambah di sekitar 1,200 undi. Ini kerana faktor penyandang kerusi tidak lagi wujud membantu PAS dalam Pilihanraya Kecil ini disamping arus undi Melayu yang dijangka terus berubah sedikit ke arah BN.
Pada sa’at artikel ini ditulis, calon kedua belah pihak belum lagi ditentukan. Ramalan di atas dibuat dengan andaian yang calon kedua dua belah pihak diterima baik oleh pengundi.
Jadi, dalam perkiraan diatas dan berasas kepada peratusan diperolehi di Manek Urai, jika BN mampu mengurangkan majoriti PAS di sekitar 2,400 undi, ini adalah petanda baik untuk politik Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia.
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terkini 23 Ogos, 2009
Sejak hari penamaan calon pada 17 Ogos lalu, nampaknya isu calon BN telah menjadi isu hangat dalam pilihanraya kecil ini. Ini kerana calon BN, Rohaizat Othman, seorang peguam, telah didapati melanggar disiplin Majlis Peguam dengan kesalahan agak serius yang melibatkan soal integriti, sehingga digantung lesen guaman beliau. Sedikit senbanyak, isu ini pasti akan memberi kesan negatif kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil ini. Oleh itu, BN sepatutnya telah menggugurkan nama beliau diwaktu penamaan calon tempoh hari dan diganti dengan seorang calon yang lebih sesuai.
Bagaimanapun, kenyataan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang mencemari kepentingan Islam serta disanggah oleh para Ulama dan Cendiakiawan Islam, dijangka mampu mengurangkan jurang antara PAS dan masyarakat Cina, tetapi boleh menjejas sokongan dari kalangan pengundi Melayu.
DAD Ikhwan
0 responses so far ↓
There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.