DAH IKHWAN Weblog

Nik Aziz dan Muktamar Agung Khas PAS

October 25, 2009 · Leave a Comment

Beberapa bulan telah berlalu sejak pemilihan kepimpinan PAS, dengan pertembungan prinsip dalam parti mulai reda dan kumpulan Abd. Hadi menguasai kepimpinan, dengan tiba tiba pula Tuan Guru Nik Aziz keluarkan cadangan yang  menggemparkan parti. Beliau telah mendesak  diadakan muktamar Agung Khas untuk membersihkan parti daripada golongan pro kerajaan perpaduan.

Saya terus membuat tinjauan keatas pergolakan dalam PAS seperti dahulu sungguhpun artikel artikel terdahulu tiada  cukup  sambutan dari  pembaca. Adakah ini kerana masyarakat online tidak berminat mengetahui perkembangan dalam parti PAS  dan  ahli ahli PAS sendiri  sememangnya tidak berminat dengan analisis analis yang objektif dan mendalam dan masih banyak  perpandukan kepada emosi dalam tindak tanduk mereka, seperti dipapar di muka muka akhbar.

Misalnya, tindak tanduk penyokong  dan pucuk pimpinan PAS sewaktu krisis politik di Perak dan cara mereka mempersoalkan undi Pos di Bagan Pinang. Ini semuanya menunjuk pendekatan yang kurang tepat,  tidak berlandaskan fakta dan penuh emosi, tidak banyak beza daripada ahli  parti parti Islam di tempat lain seperti di Pakistan dan di Timur Tengah.

Dari sudut lain  hasil pemilihan kepimpinan awal tahun ini pula menunjukkan satu kemajuan dalam parti. Barisan kepimpinan yang baru adalah terdiri kepada mereka yang lebih komited dengan prinsip perjuangan parti dan perpaduan ummah.

Namun demikian, seperti saya ramalkan dalam artikel artikel terdahulu (lihat senarai rujukan di bawah artikel ini), puak Erdogan  yang kalah tidak akan mendiamkan diri dan akan terus berusaha mengatasi puak  yang didokong  golongan ulama. Jadi tidak hairanlah  apabila Tuan Guru Nik Aziz  terdesak  untuk membersihkan parti daripada puak prokerajaan perpaduan.

Namun langkah beliau tidak mungkin berjaya kerana ini akan menjejaskan kedudukan dan pengaruh presiden parti, Tuan Guru Hadi Awang, Timbalan Presiden dan pemimpin pemimpin kanan yang lain. Jika muktamar khas diteruskan juga, keputusan tidak  mungkin memihak kepada Tuan Guru Nik Aziz, sekaligus akan terus menghakis pengaruh beliau  di dalam parti.

Sebenarnya, PAS kini tidak mempunyai banyak opsyen. Ia perlu berpegang teguh kepada landasan perjuangan asal yang didokong oleh golongan ulama bagi mengekal sokong masyarakat Melayu dan Islam yang sedia ada.

Usaha untuk melebarkan pengaruh dikalangan penduduk bukan Islam seperti diperjuangkan oleh kumpulan Erdogan dan Nik Aziz  adalah satu perjuangan yang sia sia dalam jangka panjang, apalagi dalam suasan terkini yang menunjukkan pemulihan sokongan masyarakat Melayu dan kaum India terhadap Barisan Nasional.

Perlu diingatkan  meskipun suasana anti kerajaan  begitu meluas dalam pilihanraya 2008, sokongan pengundi Melayu untuk BN  masih agak  tinggi pada tahap 54.4%.  Dengan PAS terus  berlaku  sebagai penyokong Pakatan bukan Islam, pasti  kedudukan UMNO akan bertambah kukuh dalam Masyarakat Melayu/Islam.

Perlu juga diingatkan pada tahun 2008  sokongan kaum India kepada BN telah jatuh ketahap yang paling rendah dalam sejarah, iaitu 10.3% sahaja. Pasti keadaan seburuk ini tidak akan berpanjangan dan, dengan dasar baru 1 Malaysia yang lebih perihatin kepada nasib kaum India, sudah ada petanda  awal yang undi kaum India mulai kembali kepangkuan BN.

Disamping itu jangan lah berharap sangat dengan sokongan berterusan daripada masyarakat Cina. Usahlah PAS bermimpi, mereka ini kaum bijak dan hanya mengundi ikut kepentingan kaum mereka sahaja. Pasti kaum Cina tidak ingin menjadi satu satunya kaum pembangkang di Tanah Melayu.

Berpandu kepada keputusan beberapa pilihanraya kecil baru baru ini,  masyarakat Islam kini  pasti tidak yakin kepada pendirian Nik Aziz yang begitu benci kepada  UMNO, sebuah parti yang selama ini banyak berjuang untuk menegakkan  Islam di negara ini.

Sama ada PAS akan bekerjasama dengan UMNO dimasa hadapan, biarlah masa  menentukannya. Tetapi  bekerjasama  untuk menambahkan  kuasa bukan Islam di Malaysia,  ini tidak mungkin diterima oleh Masyarakat Melayu/Islam.

Wallahu ‘alam, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

DAH IKHWAN

Artikel artikel berkaitan:

1. ‘Kerajaan Perpaduan: Adakah PAS tergelincir dari landasan     Perjuangan’bertarikh 24 Jun, 2009

2. ‘Keputusan Pemilihan Kepimpinan PAS’  bertarikh 8 Jun, 2009

3. ‘Pertembungan Dua Prinsip dalam PAS’ bertarikh 3 November, 2008

4. ‘Muzakarah UMNO dan PAS’ bertarikh 5 Ogos, 2008


Categories: Artikel Politik
Tagged: ,

0 responses so far ↓

  • There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.

Leave a Comment