Hanya tinggal lapan hari lagi sebelum Perhimpunan Bersih 2.0 dilancarkan pada 9 Julai 2011. Suasana tegang sudah dirasai sejak sebulan dua yang lepas dimana pelbagai pihak/NGO menyatakan pendirian sama ada menyokong atau menentang perhimpunan ini. Begitu banyak sekali aduan polis dibuat menentang perhimpunan ini.
Tidak dinafikan yang peraturan pilihanraya di negara ini masih ada cacat celanya. Misalnya liputan media perdana biasanya memihak kepada Barisan Nasional dan BN juga bebas menggunakan harta kerajaan semasa berkempen pilihanraya. Jadi kita setuju yang tujuan asal Bersih itu baik untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas. Tetapi kita faham juga pendirian kerajaan mengharamkannya kerana perhimpunan ini nampaknya sudah hilang kebebasan dan menjadi landasan bagi Pakatan Pembangkang melancarkan gerakan besar besaran menentang kerajaan.
Pada tahun 2007 Anwar Ibrahim telah berjaya melakukan kejutan melalui Perhimpunan Bersih, disusuli dengan demonstrasi Hindraf untuk meningkatkan ketegangan dan sentimen anti kerajaan dikalangan rakyat. Bekas Timbalan Presiden PKR Dr. Chandra Muzaffar berpendapat demikian. Beliau dipetik dalam The Star ‘Saya yakin yang Perhimpunan Bersih di rancang oleh Anwar bukan untuk kepentingan reformasi pilihanraya, tetapi dengan tujuan memperkukuh kedudukan beliau sendiri dengan jalan mudah, mengharapkan peralihan kuasa melalui demonstrasi jalanan seperti di Mesir baru baru ini’.
Tetapi keadaan di Malaysia dan Mesir jauh berbeza. Di sana Presiden Mubarrak telah memegang tampuk kuasa lebih daripada 30 tahun tanpa pilihanraya yang bebas. Kita sedia maklum bagaimana kerajaan Mesir menindas Ikwanul Muslimin, sebuah pertubuhan pembangkang yang berpengaruh di Mesir dangan menghalang calon calon mereka bertanding dalam pilihanraya yang jarang pula diadakan.
Sebaliknya di Malaysia kita mengadakan pilihanraya setiap lima tahun sejak merdeka. Parti Barisan Nasional sememangnya telah lama memerintah, tetapi telah ada enam orang perdana menteri dalam jangka masa tersebut. Malah Dato’ Seri Najib baharu sahaja memegang jawatan sejak dua tahun yang lalu.
Sistem pilihanraya Malaysia mungkin bukan antara yang terbaik, tetapi tiada pula kecacatan yang serius sehingga membolehkan kerajaan merampas kemenangan pihak pembangkang. Kita semua maklum parti parti pembangkang biasanya mendapat undi yang agak tinggi dalam setiap pilihanraya, sehingga membolehkan kerajaan PAS Kelantan bertahan begitu lama. Dalam Pilihanraya tahun 2008 pula Pakatan Rakyat telah berjaya mendapat 50% daripada keseluruhan undi di Semenanjung Malaysia sehingga membolehkan mereka menawan empat buah negeri.
Jika dilihat dari segi peratusan undi setiap kaum, majoriti undi Cina biasanya menyebelahi DAP. Dalam pilihanraya tahun 2008 hampir 60% undi kaum Cina dan 90% undi kaum India telah di beri kepada pembangkang. Parti pembangkang tidak mungkin mendapat undi yang begitu tinggi sekali jika ada penyelewengan yang ketara dalam pengiraan undi.
Dari segi menggunakan harta kerajaan, ini pula bukan hanya dosa kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang pun apa bezanya. Malah dari segi kebebasan akhbar, Pakatan Rakyat tidak menampakan toleransi dan bertindak memboikot akhbar Utusan Malaysia dan RTM, manakala Kerajaan BN nampaknya lebih toleran dan membiarkan liputan yang berbau fitnah di akbar akhbar media online. Malah semua Parti dalam Pakatan Rakyat tidak dihalang menjual akhbar mereka kepada umum. Mampukah Pakatan Rakyat bersikap lebih toleran daripada kerajaan yang ada jika mereka memerintah di Putra Jaya?
Sungguhpun demikian Pakatan Pembangkang bertekad terus menggerakkan perhimpunan haram Bersih.Pada kali ini, mereka berharap dapat mewujudkan suasana yang serupa tahun 2007. Parti PAS dan PKR telah menunjukkan sokongan penuh kepada perhimpunan Bersih dan menjanjikan ribuan penyokong. Tetapi nampaknya kali ini ia tidak akan mendapat sokongan daripada kaum Cina dan India. Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) tidak menyokong perhimpunan Bersih ini dan Parti Makkal Sakti (bekas Hindraf) juga telah menyatakan pendirian serupa. Kini ia hanya berupa pertarungan politik diantara elemen Melayu dalam Pakatan Rakyat disatu pihak menentang NGO NGO Melayu dan parti Barisan Nasional.
Kita juga harus faham mengapa masyarakat perniagaan menentangPerhimpunan Bersih. Seperti yang berlaku ketika demonstrasi yang lepas, ia melumpuhkan perniagaan di kawasan kawasan yang dilalui para demonstrasi, disamping kesan buruk kepada industri pelancongan akibat publisiti negatif diluar negara.
Kini pula Pakatan Rakyat akan mempamirkan kekuatan ’baju kuning’ dijalanan seperti gerakan demonstrasi besar besaran di Thailand tidak lama dahulu, dan kesan buruk yang negara tersebut alami. Sungguhpun belum ada ada gerakan besar besaran berbaju merah pro kerajaan disaat ini, tetapi suasana sedemian tidak mustahil akan berlaku memandangkan populariti kerajaan yang ada sekarang. Jika ini berlaku, pertembungan di jalanan pasti akan berlaku secara berlarutan dan menimbulkan keresahan rakyat dan huruhara.
Dengan keadaan yang demikian, masyarakat Melayu perlu memikir sedalam dalamnya sebelum memutus menyertai perhimpunan Bersih ini. Seelok eloknya biarlah rakyat memikirkan soal masa hadapan mereka dalam suasana yang tenang sebelum memberi mandat baru pada Pilihanraya Umum Ke 13 tidak lama lagi. Beginilah amalan demokrasi di negara negara maju. Kita sepatutnya menuju kearah ini dan bukannya menjejaki negara negara yang tercicir seperti Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan Syria.
Update 6 Julai 2011
Kita menyambut baik nasihat Yang Dipertuan Agong dan Keputusan Kerajaan membenarkan Perhimpunan Bersih di adakan di dalam Stadium. Kita yakin inilah sebaik baik kompromi dan membolehkan pihak Bersih mengenengahkan tuntutan mereka dalam suasana yang aman sambil menjaga imej negara dimata dunia. Perhimpunan seelok eloknya diadakan di Selangor iaitu di luar Bandaraya Kuala Lumpur bagi memudahkan pihak polis mengawal keadaan.
DAH Ikhwan
Artikel Berkaitan:
1. Senario Kekuatan DAP selepas Pilihanraya Umum ke 13
2.English language teachers in Malaysian schools.
Pingback: BERSIH, kotor? « ~halaqahmardhatillah~
Kenapa sering meletakkan kesalahan keatas pembangkang untuk suatu tuduhan menjatuhkan dan melemahkan pentadbiran negara? Adakah barisan pembangkang negara ini begitu daif pemikiran mereka sehingga sering diletakkan pandangan yang negatif keatas setiap pendapat mereka? Pernahkan kita kaji tentang kabaikkan dan juga keburukkan yang cuba disampaikan oleh mereka? Kita telah dijadikan oleh yang maha Esa untuk melihat tetapi tidak semestinya untuk memegang, mendengar tetapi tidak semestinya untuk menentang, menghidu tetapi tidak semestinya untuk menjamah dan meluahkan tidak semestinya untuk melaksanakan. Setiap yang terdedah itu disaksikan oleh qudrat yang telah dijadikan oleh yang maha Esa untuk dinikmati bersaksikan setiap kejadiannya dari batasan yang berbeza. Tetapi nikmat itu adalah terbatas dan tidak boleh dilaksanakan sehingga mengakibatkan penyalahgunaankuasa oleh nafsu untuk memiliki dan juga berkeinginan sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang berada diluar batasan kemampuan. Keinginan untuk menjatuhkan negara bukan hanya terletak kepada pemberontakkan yang dilaksanakan oleh pembangkang. Kebencian kepada negara tidak jelas dari mata kasar dan seringkali bersembunyi disebalik kebenaran yang sentiasa menerima apa juga keadaan yang telah ditentukan untuknya. Pengaruh tamak dan haloba didalam melaksanakan tanggungjawab terhadap negara telah menjadi keinginan untuk mempertikaikan kedudukkan sebenar kesefahaman diantara pentadbiran dan juga pemerintahan negara dan juga perpaduan diantara jalinan perhubungan bagi sesebuah perikatan yang telah dimeterai melalui suatu perundangan lama. Kita tidak arif meneka tetapi kita arif menuduh sedangkan yang kita tuduh memiliki pertalian yang telah ditentukan oleh syariat Islam di seluruh dunia. Pertalian sesama saudara Islam yang tidak boleh dipertikaikan lagi oleh politik ataupun propaganda negara….. Kita diamanahkan qudrat dan iradat bukan untuk dipolitikkan ataupun dipropagandakan….
tetapi untuk dijaga agar tidak disalahgunakan… sekian wassalam