Category Archives: Artikel Business

Gallery

Perbandingan Prestasi Syarikat GLC, Syarikat Melayu dan Cina (tahun 2008 – 2013)

Artikel ini adalah update kepada artikel Perbandingan Prestasi Syarikat-syarikat di Malaysia yang kita  terbitkan hampir lima tahun lalu, pada pada 15 Feb 2009. Sejak itu  kita telah mengumpul data yang diperlukan untuk artikel update ini sebagai perbandingan  dan pemantauan kepada kedudukan … Continue reading

Gallery

Transformasi Ekonomi(ETP) dan Kerajaan(GTP): 12 Isyarat Jelas Kejayaan – Idris Jala

( Artikel ini adalah rumusan terjemahan artikel 12 Clear Signs of Success -The Star 1 April 2013-  oleh Datuk Idris Jala,   Menteri di Jabatan Perdana Menteri  dan CEO Performance Management and Delivery Unit) Datuk Idris Jala menyatakan, dengan pencapaian Program … Continue reading

Gallery

Antara Bung Mokhtar dan Syed Mokhtar : Pemikiran Yang Bercelaru

Bung Mokhtar dan  Zizie Ezette Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary Bung Mokhtar yang  terkenal sebagai seorang wakil rakyat yang sering mengundang kontroversi, kali ini  dengan tiba tiba menghantam  rakan senama beliau, ia itu  usahawan Melayu terulung  Tan Sri  Syed … Continue reading

Gallery

Tony Fernandes dan Air Asia

This gallery contains 2 photos.

Latar Belakang Jika sebelum ini kita telah memaparkan artikel wawancara dengan seorang  tokoh usahawan Melayu  Tan Sri Mokhtar Al Bukhary,  tokoh usahawan Cina Tan Sri Robert Kwok, Kumpulan Mydin,  kini saya ingin pula  menarik perhatian anda kepada seorang tokoh usahawan … Continue reading

Gallery

Malaysia pada landasan yang betul: Kata Wall Street Journal

Malaysia kini sedang menyaksi momentum pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan,   yang  perlu di  kekalkan  dalam menghadapi suasana perdagagangan global yang lemah disamping keadaan politik dalam negeri yang kurang pasti. Suatu artikel di website  Wall Street Journal, bertarikh 19 Julai 2012,  bertajuk … Continue reading

Pasaraya Mydin, Pengasas dan Sejarahnya

Pengenalan

Kumpulan Mydin,antara kumpulan perniagaan runcit dan borong yang terbesar di Malaysia, dengan jualan tahunan mencecah RM 1.6 bil., bermula dengan sebuah kedai kecil di Kota Bharu pada tahun 1957. Mydin Mohamed bin Ghulam Hussein, kini berusia 83 tahun, adalah pengasas Kumpulan ini. Beliau dilahirkan pada tahun 1928 di Pulau Pinang kepada keluarga Ghulam Hussein bin Jamal.  Encik  Jamal, bapa kepada Ghulam Hussein,  merupakan seorang  imigran muslim dari India.

En. Mydin berbekal dengan simpanan peribadi , tiada jalan pintas, tanpa tongkat atau bantuan kewangan dari kerajaan, mampu memulakan ‘empire perniagaan’ hanya mulai dengan ruang kedai yang amat kecil.

Hanya selepas 22 tahun pada 1979, En. Mydin membesarkan perniagaan beliau ke negeri berhampiran, Trengganu. Bayangkanlah begitu lama, sehingga 2 dekad!

Usahawan muda masakini tidak begitu bersabar, mereka sentiasa  ingin melihat hasil dengan lebih pantas   serta  mencuba meneroka dengan jalan pintas.

Usahawan masakini kadang kalanya tidak memahami keadaan ini. Dalam alam perniagaan, anda perlu belajar mengurus kewangan dan mengelak pinjaman yang berlebihan dikala sumber hasil masih lagi terhad.

Kini Kumpulan Mydin memiliki lebih daripada 90  kedai termasuk lapan buah pasaraya besar  dan Mydin wholesale emporium dibeberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Keluarga Mydin

Mydin Mohamed pada tahun 1949 berkahwin dengan seorang gadis dari India berumur 15 tahun bernama Rowshan Bhai. Mereka  dikurniakan seramai tujuh orang anak, iaitu tiga orang anak perempuan dan empat orang lelaki.

Kini Kumpulan Mydin di terajui oleh anak Mydin Mohamed yang kedua, Dato’  Ameer Ali Mydin. Beliau berkelulusan Masters in International Business dari Sonoma State University, California dalam tahun 1981, dan hanya menyertai perniagaan keluarga Mydin dalam tahun 1987 setelah beberapa tahun berkhidmat dengan Arab Malaysian Merchant Bank di bawah Tan Sri Azman Hashim.

Pertumbuhan Pesat sejak 1987

http://www.mydin.com.my/mydin/images/1_a2.jpg
Gambar Mydin Hypermarket, Subang Jaya

Dalam fasa yang kedua sejak tahun 1987,  Kumpulan Mydin telah melalui peringkat  pertumbuhan yang pesat,  setelah Dato’ Ameer Ali menyertai Kumpulan. Jika sebelumnya, ia hanya memiliki dua buah kedai sejak tertubuhnya pada tahun 1957 di Kota Bharu, sejak tahun 1987, Kumpulan Mydin telah berkembang pesat di seluruh semenanjung sehingga kini mampu memiliki lebih sembilan puluh buah kedai termasuk beberapa buah pasaraya dan emporium, dengan nilai jualan berjumlah lebih daripada RM 1.6 bil. setahun.

Kini, Dato’ Ameer Ali Mydin adalah  Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd.

Program Transformasi Kedai Runcit(TUKAR)

Kumpulan Mydin adalah sebuah daripada pasaraya yang terlibat dalam program TUKAR dan berperanan sebagai konsultan dan membantu  dalam melaksanakan program ini.

http://www.mydin.com.my/mydin/images/225_a175.jpg
Perubahan hasil Program TUKAR di sebuah pasar mini di Merlimau

Program ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Perdagangan dalam Negeri dibawah NKEA untuk memodenkan kedai runcit tradisi. Proses transformasi ini merangkumi mengatur semula barang niaga, melaksanakan point of sale system yang baru yang lebih effisien, dan meningkatkan rupa bentuk disebelah dalam dan luar kedai. Kedai yang terbabit akan diberi pinjaman oleh Bank Rakyat sejumlah diantara RM20,000 dan RM60,000.

Kedai Rakyat 1 Malaysia(KR1M)

Sebagai tanggungjawab sosial dan berikutan kejayaan dalam Program TUKAR,  Kumpulan Mydin telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan sebagai operator KR1M.

Sebagai Operator,  Mydin  membantu dalam memasang peralatan dan rek rek kedai , pengurusan bekalan,  IT Support untuk sistem jualan, kemahiran teknik dan penjualan, dan latihan.

http://starstorage.blob.core.windows.net/archives/2011/6/23/nation/n_1najib.jpg
Najib melawat KR1M di kelana Jaya

Sejak ditubuhkan pada pertengahan tahun 2011, kini sudah terdapat kira kira 30 buah kedai Rakyat 1 Malaysia di Semenanjung Malaysia. Untuk info lanjut sila klik di sini.

Jatidiri Keluarga Mydin disebalik Kejayaan

Kejayaan Kumpulan Mydin pasti tidak dapat dipisahkan daripada jatidiri keluarga tersebut, yang nampaknya banyak dipengaruhi nilai dan budaya keluarga yang berasal dari India, sungguhpun pengarah urusan, Dato’ Ameer Ali merupakan generasi keempat yang bermastautin di Malaysia.

Ayah kepada datuk beliau, Encik Jamal berhijrah ke Malaysia dalam tahun 1916. Seperti ramai imigran lain, beliau adalah diantara anak anak muda yang berani menyahut cabaran dan mengharungi lautan untuk mencari peluang perniagaan di tempat baru. Mengikut cerita, ini berlaku setelah beliau terbaca akbar di India tentang kejayaan imigran bangsa Cina di Malaya ketika itu.

Ghulam Hussein, bapa kepada Mydin Mohamed sudah cukup berjaya dalam perniagaan disekitar tahun 20-30han.  Sungguhpun demikian, dengan nilai nilai dan budaya niaga yang kukuh, keluarga ini kekal dengan sifat sifat yang perlu untuk kejayaan seterusnya. Persekolahan diutamakan dan En Mydin dihantar ke sekolah Inggeris . Mereka  kekal dengan cara hidup yang sedarhana dan berdisiplin. Kini, setelah berjaya Encik Mydin masih lagi seorang yang suka merendah diri dan berjimat cermat.

Berpandukan penulisan  yang kita dapati, sifat berjimat cermat merupakan nilai amat penting  dalam keluarga Mydin. Walau kadang kali ianya nampak keterlaluan dari kaca mata masyarakat Melayu,  sekurang kurangnya kita harus faham sifat berjimat cermat adalah  sifat baik yang perlu dibudayakan untuk maju kehadapan.

Keluarga Mydin juga berpegang teguh kepada kejujuran dalam keluarga dan dikalangan pekerja pekerja mereka. Pembelotan pernah berlaku dimana supervisor kedai menggelap wang hasil jualan. Tindakan disiplin, walaupun sukar dilakukan,  terpaksa diambil dengan segera setelah terbukti kesalahan,  dengan menamatkan perkhidmatan kakitangan berkenaan. Pengurusan boleh mema’afkan kesilapan, tetapi tidak  jika ia melibatkan penipuan dan ketidakjujuran.

Sudah pasti persekitaran keluarga memainkan peranan yang penting dalam kejayaan kumpulan ini.  Ini kerana sekurang kurannya dalam tiga generasi kedua dua ibu dan bapa mereka adalah dari keturunan dengan  jadidiri yang serupa.

Satu lagi ciri ciri yang perlu diambil perhatian,  Encik Mydin Mohamed  tidak memulakan perniagaan dengan ayahnya, sungguhpun ayah beliau sudah  berjaya. Beliau memilih untuk mulai berkhidmat dari bawah dengan perniagaan Mr. Peerbhai. Disini beliau menimba banyak pengalaman untuk mengurus kedai runcit.

Begitu juga anak beliau  Dato’ Ameer Ali Mydin juga tidak mulai berkhidmat dengan perniagaan ayah beliau dari awal.  Di sini pendidikan universiti menjadi prioriti sebelum beliau mulai bertugas dengan Arab Malaysian Merchant Bank di bawah Tan Sri Azman Hashim. Hanya setelah menimba pengalaman berkhidmat dalam  bank dan  setelah menjalin networking yang perlu, beliau mulai berkhidmat dalam perniagaan keluarga.

Jelas nampak disini yang kejayaan kejayaan kumpulan Mydin berkait rapat dengan jatidiri keluarga, pendidikan yang baik, pengalaman disekitar perniagaan yang moden dalam AMMB dan juga jalinan networking yang mereka bina.

Bagi kita orang Melayu yang membesar dalam suasana selesa, tanpa disiplin yang ketat dan budaya niaga yang kondusif dalam masyarakat, kita perlu mengharungi lebih banyak perubahan sikap dan budaya niaga.

Kinipun kita sedang menuju kearah itu hasil persaingan antara kaum dalam negara yang menimbulkan kesedaran dan motivasi dalam masyarakat.

Insya Allah,  dengan bantuan polisi kerajaan yang sesuai, terutama dalam bidang pendidikan dan  dengan mewujudkan suasana  persaingan yang sihat dan adil , masyarakat kita akan berjaya di masa hadapan.

Sekian, assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DAH IKHWAN

Artikel berkaitan:
1.Perbandingan Prestasi Syarikat GLC, Syarikat Melayu dan Cina.

2.Pilihan Raya Kampus 2012

3.Tony Fernandes dan Air Asia

4. Pengundi Cina Senyap Senyap Mendaftar, pengundi Melayu masih lalai.

Bahan rujukan: MYDIN, The Untold Story, oleh Datin Dr. Hjh. Siti Hawa    Mohd.
Website MYDIN Holdings Bhd.
Website Kedai Rakyat 1 Malaysia.


Menjejaki Agenda Bumiputera Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru baru ini mengumumkan lima lagi pendekatan baru sebagai inisiatif untuk membantu memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Pendekatan baru itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputra (MTAB) yang dipengerusikan beliau sendiri  yang antara lain bersetuju supaya bilangan syarikat teras bumiputera ditambah sebanyak 50 lagi berbanding 30 dalam fasa pertama.

Syarikat Teras Bumiputera

Program Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) Bumiputera Berprestasi Tinggi, yang dikenali sebagai Program TeraS, telah dilancarkan oleh TERAJU pada 20 Julai 2011. Program ini bertujuan untuk membangun generasi usahawan Bumiputera bertaraf dunia di dalam kesemua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Syarikat-syarikat yang terpilih setakat ini telah melalui proses penilaian dan penarafan,  sudah dipastikan  ada potensi untuk berkembang lebih maju. Jumlah hasil syarikat tersebut kini adalah dalam lingkungan RM5 bilion.

Beliau menambah, ”Konsepnya bukanlah kita janjikan setiap syarikat ini semestinya mendapat kontrak kerajaan tetapi lebih kepada keupayaan membina dan membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tersebut dari segi pengurusan, teknikal dan kewangan selain membantu dari segi inovasi serta pelan perniagaan.”

Saya rasa Program Syarikat Teras ini adalah satu inisiatif kerajaan yang berinovatif dan berdaya maju. Ia adalah antara inisiatif  terpenting dalam Model Baru Ekonomi dalam meningkat kapasiti dan kemampuan syarikat Bumiputera.

Untuk menjayakan Program ini, adalah penting penarafan itu dibuat dengan cara yang telus dan  professional tanpa sebarang pengaruh politik atau kronisma.

Pendekatan kerajaan dalam menjayakan program ini juga boleh diterima baik selagi ia difokuskan kepada  usaha meningkatkan kapasiti dan dayasaing syarikat syarikat ini.

Sudah pasti agaknya sebuah syarikat teras sudah menunjukkan effesiensi dan kemampuan berdaya saing sebelum menerima penarafan. Adalah penting ciri ciri yang mulai berkembang ini di rangsangkan bagi terus memajukannya. Janganlah kerajaan, sebaliknya, terlalu memanjakan syarikat syarikat teras ini sehingga mereka  menjadi tidak ingin bersaing dipasaran bebas mahupun didalam atau di luar negara.

Dana Mudahcara

Dana Mudahcara berjumlah RM2 bilion disediakan oleh Kerajaan untuk kegunaan inisiatif-inisiatif Projek Permulaan (EPP) oleh syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan.

Dana ini diwujudkan sebagai “tipping point” sesuatu projek, dengan menyediakan pembiayaan bagi infrastruktur asas, agar Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) Bumiputera dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan projek. Dana ini akan menjadi pemangkin kepada syarikat Bumiputera untuk menjalankan projek-projek yang mempunyai tahap kelayakan minima nilai pelaburan projek berjumlah RM20 juta.

Kita difahamkan dana ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada yang disediakan oleh Kerajaan untuk keseluruhanPFI yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak. Diharap syarikat syarikat Bumiputera yang memerlukannya memohon dana ini dengan segera.

Mengikut pemerhatian kami dana dana serupa yang terbuka,  mendapat sambutan yang luarbiasa dari bukan Bumiputera.

Program Penswastaan

Perdana Menteri berkata, keputusan juga dicapai untuk meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan(bukan core business) tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

”Dan mereka akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera,” jelas beliau.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.

Kita alu alukan langkah kerajaan yang terbaru ini dalam program penswastaan. Nampaknya  ia banyak berbeza dan lebih baik  berbanding dengan program penswastaan dizaman pemerintahan Tun Mahathir dahulu.

Dizaman Tun Mahathir penswastaan tidak dilaksanakan dengan teratur apabila penerima program penswastaan dipilih tanpa sistem yang telus daripada kalangan usahawan yang belum ada pengalaman, tiada  track record dan tanpa modal yang cukup.

Kini mereka yang berminat  akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat yang diswastakan  dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera.

Kita bersyukur di atas tindakan Dato’ Seri Najib kerana menghidupkan semula Program Penswastaan yangmana pernah dilaksanakan dahulunya di zaman Tun Mahathir. Artikel kita yang disiar dalam tahun 2009, telah menyarankan supaya tindakan ini diambil dengan beberapa penambahbaikan berbanding dengan yang sebelumnya. Saranan ini telah dibuat berikutan penemuan kajian kita yang membuktikan syarikat syarikat usahawan Bumiputera telah mengatasi prestasi syarikat syarikat GLC dalam tempoh  kajian mulai tahun 2002 hingga tahun 2007.

Antara pendekatan yang kita sarankan ialah isu kemampuan syarikat yang menerima penswastaan dan soal ketelusan proses pemilihan.

Nampaknya tindakan yang kini sedang diambil kerajaan banyak persamaannya dengan cadangan kita dahulu, dan ini sudah memadai buat permlaan.

Pada fasa yang seterusnya, kerajaan seharusnya meluaskan program penswastaan meliputi juga core business kepada GLCs, tetapi penswastaan bolehlah dihadkan kepada 40% ekuiti syarikat terlibat bagi mengekal ruang pelaburan untuk  PNB dan badan saham amanah Bumiputera yang lain.

Jika cadangan di atas di terima, kita yakin persekitaran perniagaan Bumiputera akan menjadi lebih rancak  dan berkembang dengan lebih pesat, Insya Allah.

Salam hormat daripada

DAH IKHWAN

Artikel Berkaitan

1. Senario Kekuatan DAP Selepas PRU 13

2. Keputusan PRU 12 (tahun 2008): Analisis Pengundian Mengikut Kaum.

3. Keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak(2011): Analisis undi mengikut kaum.


Isu DNA Babi Dalam Ramly Burger

Isu DNA Babi dalam Ramli Burger telah heboh diperkatakan dalam beberapa blog sejak sebulan dua ini. Ia berikutan  sebuah blog memaparkan salinan surat dari Jabatan Kesihatan, Negeri Kedah yang mendakwa  jabatan berkenaan bagi Daerah Yan telah menemui DNA babi hasil kajian satu sample produk Ramly Burger di sana.

Perkara ini telah dinafikan sekeras kerasnya oleh Dato’ Ramly bin Mokni, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramli yang mengeluar dan memasarkan produk tersebut. Dalam surat terbuka  bertarikh 1 Disember 2011, beliau mendakwa bahawa ini adalah satu fitnah untuk mensabotaj syarikat mereka yang 100% dimiliki oleh keluarga beliau yang beragama  Islam dengan 1,000 kakitangan yang kesemuanya juga beragama Islam. Belaiu menambah bahawa sebagai kumpulan beragama Islam, mereka sungguh menitik beratkan soal halal haram dan mempunyai jabatan dan jawatankuasa halal untuk memastikan status halal  produk yang dikeluarkan.

Beliau mendakwa  memang ada kertas bungkusan yang bukan milikan Ramly telah ditemui digunakan dan aduan polis telah dibuat tentang perkara ini.

Satu pemeriksaan premis telah dilaksanakan oleh Pejabatan Kesihatan Daerah Kulim, Kedah yang mengesahkan  tiada DNA Babi ditemuai.

Beliau menasihati orang ramai menghubungi pihak JAKIM untuk penjelasan lanjut (Jika ada).

Dalam perkara ini,  kami mengakui pentingnya pemantauan status halal dibuat oleh pihak kerajaan, tetapi janganlah ia dibuat dengan cara tergesa gesa dan di laporkan pula oleh  sebuah  pejabat  peringkat daerah dan sebuah agensi yang tidak berkenaan. Sebarang pengumuman sepatutnya dibuat oleh pihak yang berwibawa seperti JAKIM pusat atau negeri dengan prosedur yang ketat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,  fitnah atau  sabotaj.

Kita harus maklum sejak baru baru ini banyak perusahaan Melayu/Islam telah disasarkan oleh pihak yang tidak dikenali  melalui internet. Ini termasuklah kes roti Gardenia, KFC, Kek Lapis Sarawak dan kini pula Ramly Burger, yang kesemuanya dimiliki  atau di kuasai oleh usahawan Melayu/Islam. Kita tidak tahu siapa yang memulakan fitnah ini dan apa tujuan mereka. Namun kita sebagai masyarakat Islam, walaupun perihatin dengan soal halal haram, perlulah berhati hati supaya tidak  mudah digunakan oleh pihak lain untuk memfitnah dan menjatuhkan perusahaan Islam.

DAH IKHWAN

Artikel Berkaitan

1. Gardenia vs Massimo: Rotipun punyai Bangsa

2. Senario Kekuatan DAP selepas PRU 13

3. Pilihanraya Umum tahun 2008: Analisis  undi mengikut kaum

Gardenia atau Massimo – Apabila Rotipun Punyai Bangsa

(Artikel ini adalah terjemahan petikan daripada  artikel  When Bread has Race yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 8 Januari 2012)

GARDENIA atau Massimo? Roti Bengali atau Roti Boy? Bun Mexico atau Roti Perancis? Sila ke rumah orang Malaysia, pasti  anda akan terjumpa bungkusan roti. Samaada roti putih atau ‘wholemeal’ ia adalah makanan biasa orang Malaysia.

Orang Malaysia sesungguhnya banyak pilihan tatkala memilih untuk sarapan pagi. Ada beberapa syarikat tempatan yang membekalkan roti seperti Gardenia, High 5 dan yang terbaharu Massimo, yang merupakan pembekal utama roti di pasaran. Sesungguhnya banyak pilihan berdasarkan harga, nilai zat dan rasa.

Baru baru ini satu laman Facebook menggesa pembeli pembeli roti menambah bangsa dan politik sebagai  asas pemilihan mereka.

Mulai sebulan lepas, kempen online ini menggesa pemboikotan roti Gardenia, kerana kononnya Gardenia dimiliki oleh syarikat kroni.

Ia mendakwa Syarikat Padiberas Nasional(Bernas), setelah mengambilalih saham Gardenia, telah memberi tekanan kepada syarikat tersebut  supaya menghentikan pembelian tepung daripada Federal Flour Mills Bhd (FFM) yang dimiliki oleh Tan Sri Robert Kwok atas sebab sebab rasis. Bernas dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.

Kempen tersebut menggesa pengguna supaya berpindah kepada Massimo yang dikeluarkan oleh FFM sebagai ganti kepada Gardenia.

Sementara sumber kempen tidak dapat dipastikan, jualan Gardenia menurun, mendorong  syarikat tersebut mengeluarkan iklan yang ia bukannya syarikat kroni dan menafikan yang ia telah diarahkan oleh Bernas menghentikan pembelian tepung daripada FFM.

Dalam iklannya, Gardenia menegaskan ia membeli tepung dari Malayan Flour Mlls Bhd dan Prestasi Flour Mills Sdn Bhd hanya atas sebab sebab komersial.

Ia juga menambah bahawa sungguhpun Bernas ada kepentingan dalam pengilang  tepung berkenaan, ia tidak pernah mengarah atau memaksa Gardenia membeli tepung dari syarikat tersebut.

Pihak FFM pula mengiklan penafian sebarang penglibatan dalam kempen kotor terhadap Gardenia.

Pihak FFM juga menegaskan mereka sentiasa berpegang  dengan prinsip yang setiap perniagaan perlu beroperasi  dalam suasana persaingan yang adil.

“Kami amat bertuah kerana selama ini  beroperasi dalam pasaran yang mengamalkan nilai nilai ini”, kata FFM.

Komen daripada Blog DAH IKHWAN

Dari urutan peristiwa ini sebenarnya sukar hendak mengetahui pihak mana yang menjadi dalang kempen boikot Gardenia ini. Ini kerana sudah pasti ada beberapa pihak yang berkempetingan dalam hal ini, termasuklah pesaing pesaing dalam industri roti.  Tetapi, kita nampak dari peristiwa ini dan beberapa peristiwa yang serupa, kini wujud kempen secara berselindung atau terbuka untuk menjejas atau melemahkan perniagaan yang dimiliki atau dikuasai oleh usahawan Melayu/muslim.

DAH IKHWAN

Artikel yang berkaitan

1. Isu DNA Babi dalam Ramly Burger.

2. Senario Kekuatan DAP Selepas Pilihanraya Umum  13

3.Pilihanraya Umum tahun 2008 – Analisis Undi Mengikut Kaum

Tan Sri Robert Kuok – Usahawan Bersikap Realistik

Berikut ialah terjemahan artikel daripada  akhbar The Star bertajuk ‘Down To Earth Tycoon’ bertarikh 19 September, 2011.

Tan Sri Robert Kuok jarang kali bercakap kepada media, jadi tatkala  diinterviu oleh Central China Television (CCTV) baru baru ini, ia mendapat liputan meluas dalam akhbar berbahasa Cina tempatan.

Tan Sri Robert Kuok, orang Malaysia yang terkaya, selalu di rujuk sebagai Sugar King(Raja Gula) tetapi beliau tidak menyukai gelaran ini dan dan menganggapnya tidak tepat.

Sebaliknya beliau yang memiliki empire perniagaan,  termasuk rangkaian Hotel Shangrila, lebih menyukai gelaran Raja Hotel.

‘Saya suka hotel tetapi  gelaran jolokan ‘Raja’ untuk saya, itu tidak tepat.’ beliau berkata ketika di interviu oleh CCTV.

Diantara topik yang dibincangkan termasuklah kegiatan beliau dalam industri pelancongan, pengeluaran gula dan juga tentang ibu beliau.

Kuok menyatakan sewaktu  mulai mencebur diri kedalam industri pelancongan di negara China, kemudahan pelancongan di sana, terutama tandas,  berada dalam keadaan  serba kekurangan. Oleh itu ia tidak mampu menarik para pelancong asing.

“Tetapi saya mengagakkan  ketika itu negara China akan menjadi destinasi pelancongan yang hebat  kerana memiliki barangan dan tempat tempat bersejarah yang banyak”. kata Kuok yang yang membina Hotel Shangrila yang pertama di Hanghzou pada tahun lapan puluhan.

Hari ini terdapat 72 buah hotel Shangrila diseluruh dunia, termasuk 34 buah di negara China. Kini terdapat 45 buah lagi sedang dibina, termasuk 28 buah di negara China.

Kuok berkata perhotelan, sebagai sebuah industri perkhidmatan bergantung kepada pekerjanya daripada pengurusan teratas hinggalah kepada pekerja terendah untuk memberi khidmat  pelanggan. Oleh itu sejak memasuki industri ini, beliau sentiasa perihatin kepada keperluan pekerja.

“Tanggungjawab Lembaga Pengarah yang terbesar ialah kepada pekerjanya”, kata beliau.

Ketika disoal sama ada beliau tidak setia kepada sesuatu industri kerana beroperasi dalam  pelbagai industri seperti gula, perhotelan dan media, beliau menjawab tidak, kerana industri industri ini adalah saling berkaitan.

Sambil mengingati tahun tahun awal dalam alam perniagaan, Kuok berkata ibu beliau Tang Kak Ji dan saudara saudara beliau telah menubuhkan syarikat Kuok Brothers Ltd sejurus selepas kematian bapa beliau pada tahun 1948.

Dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah, beliau mencadang melaburkan semua wang syarikat kedalam projek penapisan gula(sugar refinery). Ini kerana, selain tepung gandum, gula pasir juga amat penting dalan sektor makanan.

“Pasaran Gula tidak seperti petrokimia dengan permintaan yang tidak menentu. Pada masa itu industri  teknologi maklumat belum lagi bermula.  Oleh itu sektor yang paling mudah untuk  meraih keuntungan ialah sektor refining(penpisan) gula”,  kata beliau.

Beliau juga berkata bagi mewujudkan empire perniagaan yang berjaya ia memerlukan kerja keras 90%, dan selebihnya ialah intelek(kebijaksanaan). Tentang kejayaannya dalam industri penapisan gula,  beliau berkata ini kerana beliau masih muda diwaktu itu dan boleh berbahasa Inggeris.

Beliau berkata, para peniaga yang beliau jumpai di London dan New York kagum atas kebolehan beliau, sebagai seorang berketurunan Cina, boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Beliau berkata  perlu pergi  ke lima hingga  enam buah pejabat setiap   hari sebelum makan malam dengan pegawai pegawai  syarikat untuk meninjau pendapat mereka sebelum melapor melalui telegram ke Singapura. Beliau tidur kira kira jam 1 malam

Saya rasa ramai orang lebih pintar daripada saya. Tetapi kegiatan mereka dimalam hari lebih teruk. Keesokan harinya mereka tertidur dalam pejabat. Saya tidak terlena, jadi lebih mudah meneruskan kerja.

Beliau berkata mereka yang ingin mencebur diri kedalam perniagaan perlu bersikap berani, jika tidak mereka tidak akan maju.

“Setiap perniagaan ada risikonya, jadi jika anda takut buat sesuatu perniagaan, elok tinggalkan sahaja. Ini tiada masalah kerana pasti ada  peluang yang lebih baik untuk anda. Tetapi, jika anda langsung tiada sikap berani, anda akan kekal miskin”, kata beliau.

Kuok, yang  telah dinobatkan sebagai orang Malaysia yang terkaya sejak tahun 2006 apabila ranking Forbe Asia diwujudkan, berkata beliau tidak suka pada wang.

Bagaimanapun, beliau berharap syarikat syarikat beliau akan terus membuat keuntungan semoga pekerja pekerja dapat terus menikmati bonus.

“Bonus pekerja untuk tahun ini adalah pada paras yang cukup baik”, beliau menambah.

Kuok yang fasih berbahasa Mandarin berkata ini kerana beliau seringkali diingatkan oleh ibunya supaya jangan melupai asal usul mereka.

Dia mengakui ibu beliau sebagai orang yang paling banyak mempengaruhinya. Ibu beliau selalu menasihati  supaya bersifat merendah diri dan membantu yang miskin, dan berharap beliau akan menjadi peniaga yang beretika baik.

Kuok ingat suatu peristiwa dahulu apabila beliau membeli sebuah kereta Mercedes sebagai hadiah harijadi ibunya yang sudah berumur melewati lapan puluhan.

Sebaik sahaja ibunya  nampak kereta itu, beliau terkejut dan bertanya mengapa membeli kereta Mercedes  apabila sebuah kereta Jepun sudah cukup untuk beliau. Beliau  lantas mengembalikan kereta itu atas permintaan ibunya.

Kuok berkata ibu beliau mengenalpasti potensi beliau sebagai peniaga dan yakin yang beliau akan berjaya suatu hari nanti. Tetapi ibu beliau bimbang yang beliau akan menjadi seorang peniaga yang tidak bertanggungjawab, jadi beliau banyak memberi nasihat yang berguna serta menghindar sifat tamak.

Sudah tentu ibu Kuok begitu gembira sekali diatas kejayaannya  sekiranya beliau masih lagi hidup. Pasti beliau akan terus menasihat Kuok supaya terus bersifat merendah diri dan menolong orang miskin.

“Kasih sayang  saya kepada ibu adalah untuk selama lamanya” kata beliau.

Artikel Menarik:
1. Senario Kekuatan DAP selepas PRU 13.
2. Wawancara dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary