Mengapa Harus PETRONAS di Politikkan?

Sejak kebelakangan ini sewaktu krisis kenaikan harga minyak memuncak, kita nampak kecenderungan ramai ahli politik dari pihak pembangkang dan segelintir juga dari pihak kerajaan mengkritik syarikat minyak negara, PETRONAS . Keadaan ini tidak dapat dielak memandangkan kedudukan PETRONAS yang istimewa dalam industri minyak negara disamping kurangnya informasi yang menyebabkan kekeliruan dikalangan rakyat. Berikutan peristiwa itu beberapa rencana yang baik telah disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan dalam berbagai bahasa. Bagi saya, hanya boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, dapatlah mengikuti semua rencana dalam bahasa bahasa ini sahaja. Beberapa penulis bebas dan pakar ekonomi telah menulis artikel yang berkualiti, terutama dalam akhbar akhbar berbahasa Inggeris. Penerangan dari pihak kerajaan, seperti biasa, kurang jelas dan kurang berkesan. Hanya Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohammed Yackob sahaja saya rasa telah mampu menerangkan perkara ini dengan baik. Selain itu, YA.Bhg. Tun Mahathir juga telah menulis artikel yang berkualiti dan berkesan tentang PETRONAS.

Tujuan saya menulis artikel ini ialah untuk mengkaji beberapa sudut penting tentang PETRONAS yang belum diketengahkan, disamping meninjau beberapa sudut lain yang pernah dimuat atau dibincangkan dalam akhbar dan majalah bahasa Inggeris. Semua sumber yang saya gunakan adalah dari akhbar, majalah dan internet yang terbuka kepada umum. Diharap, artikel ini dapat dimanfa’atkan bagi membolehkan pembaca membuat kesimpulan yang bijak, tanpa mengira latarbelakang politik atau kaum dalam menghadapi krisis yang dialami negara ketika ini.

Sejarah

PETRONAS telah ditubuhkan pada 17 Ogos 1974, mulai sebagai pengurus dan pengawal sektor huluan [upstream] industri minyak negara, kini menjadi sebuah syarikat multinasional dalam Industri Petroleum dan Gas dengan operasi yang bersepadu. Kewujudan PETRONAS didalam negara memang tidak asing lagi. Kita menganggap lumrah adanya stesyen minyak, paip gas dan lori tangki PETRONAS; dan lain lain perniagaannya disekeliling kita. Tetapi mungkin tidak kita sedari ini suatu keadaan luar biasa didalam sebuah negara membangun dimana pasaran petroleum lazimnya dikuasai syarikat syarikat multinasional gergasi seperti Shell, Esso, British Petroleum(BP), dll. Ini kerana syarikat syarikat asing memang sudah ujud zaman berzaman, lama sebelum kita mencapai kemerdekaan.

PETRONAS baru berusia 34 tahun, jika ia seorang manusia, ia baru sahaja diperingkat awal dewasa dan biasanya belum lagi dapat menunjukkan pencapaian yang banyak. Tetapi ia sebuah syarikat yang lazimnya mempunyai jangka hayat lebih panjang daripada seorang manusia. Perjalanannya lebih panjang dan sukar, berhadapan dengan banyak persaingan dan ritangan. Banyak syarikat mati ditengah jalan, tidak kurang pula dari kalangan syarikat kerajaan atau syarikat syarikat GLC, akibat salah langkah atau kecurangan pihak pengurusannya. Kita mungkin masih ingat bagaimana Bank Rakyat di zaman tujuh puluhan, diikuti pula Bank Bumiputera dalam lapan puluhan, Sime Bank dan baru baru ini Tabung Haji kerugian ratusan atau ribuan juta ringgit.

Kejayaan di Luar Negara

Tetapi PETRONAS terus maju, mencapai peringkat dewasa dalam usia yang muda di persekitaran yang sukar. Ia telah berjaya dengan cemerlang bersaing dengan syarikat syarikat multinasional asing bukan sahaja didalam, tetapi juga diluar negara. Kini PETRONAS beroperasi dalam sepuluh buah negara mengeluarkan minyak dan gas asli. Operasi luar negara bertanggungjawab mengeluarkan 34% daripada kuantiti keluaran PETRONAS, manakala 66% lagi merupakan keluaran dalam negara. Data hasil jualan untuk tahun 2007 menunjukkan 36.7% berpunca daripada operasi luar negara dan 63.3% daripada jualan domestik dan eksport.

PETRONAS disenarai dalam Fortune 500, iaitu suatu pengiktirafan yang berprestij oleh Majalah antarabangsa FORTUNE MAGAZINE. Lazimnya hanya syarikat dari Amerika Syarikat dan negara maju sahaja yang berjaya menduduki tempat dalam penarafan ini. Bagi Malaysia, PETRONAS lah satu satunya syarikat kita yang berjaya menduduki tempat dalam senarai FORTUNE 500. Dalam senarai tahun 2008 PETRONAS dengan tenaga kerjanya sejumlah 33,682 orang, menduduki tempat ke 95 terbesar dunia dari segi hasil jualan, dan tempat ke 8 dunia dari segi untung bersih.

PETRONAS telah berjaya membangunkan tenaga kerja yang mahir barbangsa Malaysia, terutama dari kaum Melayu. Jika dahulunya projek projek mega PETRONAS di kendalikan oleh orang asing, kini kesemuanya diurus oleh anak Malaysia. Malah ramai bekas pekerja PETRONAS kini bertugas di luar negara dengan syarikat syarikat asing di Arab Saudi dan Negara Teluk.

Penyumbang Utama Kewangan Persekutuan

Dengan kejayaan PETRONAS ini, ia sejak dari dahulu lagi telah menjadi penyumbang utama kewangan Kerajaan Persekutuan. Dalam Belanjawan Negara untuk tahun 2008, industri Petroleum menyumbang 36.2% kepada pendapatan Persekutuan, hampir kesemuanya dari PETRONAS berjumlah RM53.243 bil. seperti berikut:

Butir Hasil Belanjawan Negara Tahun 2008

Butir Hasil Belanjawan Negara Tahun 2008

Kedudukan PETRONAS sebagai penyumbang utama kewangan Persekutuan adalah ekoran kejayaannya sebagai sebuah syarikat petroleum negara. Ini adalah hasil daripada kebijaksanaan kepimpinan negara dimasa lepas dalam menentukan dasar petroleum negara dan juga kejayaan pihak pengurusan PETRONAS dalam mentadbirkan syarikat dengan effisien sehingga mencapai tahap global.

Kejayaan ini memang jelas hasil daripada dasar Petroleum Negara di mana PETRONAS dipertanggungjawab memainkan peranan mengawal dan memajukan sumber minyak negara. Kerajaan telah mengambil pendekatan yang tepat dan bijak dengan memperkenalkan sistem Production Sharing Contracts dengan syarikat syarikat Petroleum asing, dalam waktu yang sama menentukan yang PETRONAS sahaja menjadi rakan kongsi tempatan. Pendekatan ini telah berjaya menarik pelaburan asing yang besar sejak tiga dekad yang lepas, disamping menentukan negara tetap menjadi pemain utama dalam sektor ini.

Perbelanjaan Modal Industri Petroleum

Sungguhpun pada peringkat awal pembangunan industri ini, negara tidak memiliki wang untuk membiayai pembangunan telaga telaga minyak dan gas, tetapi kini PETRONAS mampu. Misalnya dalam tahun 2007 perbelanjaan Modal untuk tujuan ini berjumlah RM 21.6 bil. Sungguhpun jumlahnya besar, ianya sangat perlu bagi memboleh PETRONAS berkembang dan memainkan peranannya secara berterusan. Jika tidak, kapasiti pengeluaran PETRONAS akan menguncup dan sudah pasti menjejaskan masa depannya dan negara. Adalah diharapkan kepimpinan yang ada sekarang akan terus mentadbir khazanah negara ini dengan bijaksana dan tidak akur kepada tekanan politik partisan semasa.

Sebaliknya kita rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan kejayaan Negara dan PETRONAS, yang membolehkannya menyumbang banyak kepada kewangan negara. Bagi kita orang Melayu pula, kita sepatutnya berbangga kerana sudah terbukti orang Melayu mampu mengurus dan memajukan syarikat hingga mencapai taraf global.

Kegagalan di Indonesia

Bayangkanlah suasana ekonomi negara hari ini jika Malaysia gagal memajukan industri petroleum. Kita hanya perlu tinjau diseberang sana, di Indonesia. Dalam tahun tujuh puluhan Indonesia merupakan negara pengeksport(net exporter) petroleum dan ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum(OPEC). Di kala itu ia mengeluarkan kira kira 1.7 juta tong minyak mentah sehari, tetapi terpaksa akur dengan kuota OPEC sebanyak 1.425 juta tong sahaja.

Kini Indonesia hanya mampu mengeluar sebanyak 1.1 juta tong sehari, jauh dibawah kemampuannya tiga puluh tahun lalu, malahan tidak mencukupi untuk keperluan dalam negara. Kegagalan ini bukan kerana Indonesia tidak memiliki simpanan(petroleum reserve) yang mencukupi, tetapi kerana dasar petroleum negara yang silap dan syarikat Petroleum Negara(PERTAMINA) yang tidak efisien.

Jika di zaman tujuh puluhan PERTAMINA digeruni kerana pengaruhnya dalam industri minyak Indonesia, kini dengan keuntungannya yang kecil, kedudukannya jauh di belakang PETRONAS.Dengan keadaan demikian Indonesia tidak mampu menyediakan subsidi yang cukup untuk mengawal kenaikan harga petroleum dan barangan yang lain, sungguhpun bebanan kepada rakyatnya amat berat sekali. Tidak hairanlah Indonesia kini hanya ada sumber kewangan yang kecil untuk pengurusan dan pembangunan negara.

Penutup

Malaysia sungguh bertuah mempunyai pemimpin pemimpin yang jujur dan bijaksana dalam merancang dan menentukan halatuju industri petroleum negara. Jasa YAB Tun Abdul Razak harus dikenang kerana pandangan jauh beliau dalam menentukan asas industri petroleum negara. Jasa Tun Mahathir amat besar sekali dalam melaksanakan dasar ini dengan cemerlang dalam masa lebih dua puluh tahun beliau menerajui negara. Yang saya nampak, Tun Mahathir lah yang bertanggungjawab melantik tokoh pengurusan PETRONAS yang berwibawa seperti Allahyarham Tan Sri Abdullah Salleh, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainal Abiddin dan Presiden PETRONAS sekarang Tan Sri Hassan Marican. Saya rasa rakyat Malaysia sungguh berbangga dengan sumbangannya ini.

Sebaliknya Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga bijak, tetapi lebih mementingkan agenda peribadi beliau sehingga sanggup mengenepikan kepentingan PETRONAS dan prinsip kewangan negara yang sihat. Saya yakin, Pak Lah sebagai seorang pemimpin yang jujur dan bijaksana tidak akan akur kepada tekanan politik semasa, dan akan meneruskan dasar baik yang diamalkan selama ini.

Sekian, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semoga negara sentiasa makmur dan di berkati Allah.

DAH Ikhwan

This entry was posted in Artikel Business, Artikel Politik and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Mengapa Harus PETRONAS di Politikkan?

  1. asha says:

    anwar ibrahim x pentingkn agendanye sendiri..beliau sedang mempertahankan diri beliau kerana rakyat masih belum bagi peluang untuk beliau menonjolkan diri beliau…ini semua kerana fitnah…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s