Evolusi Budaya Niaga dan Peranan Kerajaan

Jika dinilai dari segi tahap pendidikan, kemudahan dan peluang yang disediakan kerajaan untuk masyarakat Melayu, sepatutunya Melayu sudah mencapai kejayaan yang diharapkan dalam bidang perniagaan. Tetapi hakikatnya nilai pegangan ekuiti Melayu/Bumiputera hanya menghampiri angka 20% sahaja, termasuk 5% yang dimiliki golongan usahawan. Pencapaian dibawah jangkaan ini dilihat meskipun adanya dasar dan program seperti Dasar Ekonomi Baru dan agensi agensi khusus untuk menggalak perniagaan Bumiputera.

Kemajuan dalam apa bidangpun, bergantung kepada banyak faktor, samaada faktor luaran atau dalaman. Faktor luaran seperti peluang perniagaan, suasana persaingan, suasana pembekalan dan dasar kerajaan. Faktor dalaman pula berkaitan dengan kemampuan sesuatu masyarakat dalam bidang tersebut. Ini berkait rapat dengan jatidiri sesuatu bangsa yang ditentukan oleh budaya dan nilai nilai yang menjadi pegangan , disamping tahap pendidikan bangsa tersebut.

Jatidiri kini menjadi f0kas polemik dalam Masyarakat Melayu. Ini berlaku dikala Masyarakat berhadapan dengan unsur unsur luar dalam Ombak Globalisasi sekarang. Terlalu banyak unsur dan pengaruh luaran melanda masyarakat, seperti musik dan budaya liar Barat , nilai nilai Barat, teknologi barat dan tidak kurang juga isu pengunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan.

Jatidiri Melayu dan Penerapan Nilai Nilai Luaran

Jatidiri bangsa Melayu yang kita kenali kini sesunggunhnya mulai bertembung dengan cabaran luaran sejak kira kira lima ratus tahun lalu dengan mulanya penjajahan Portugis di Melaka. Ini disusuli pula dengan era penjajahan Belanda dan Inggeris dan kemudiannya dengan perpindahan Masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu kira kira seratus tahun yang lepas. Fenomena ini memerlukan penyesuaian masyarakat dalam suasana yang baru. Dalam suasana tersebut bahasa, budaya dan peranan ekonomi Masyarakat Melayu melalui peringkat evolusi perubahan. Akhirnya dalam zaman penjajahan Inggeris peranan ekonomi Melayu terhad kepada sektor pertanian dan luar bandar disamping menduduki sektor perkhidmatan kerajaan.

Dalam era sekarang bangsa Melayu terus tercabar untuk menyesuaikan diri dalam suasana baru yang cepat berubah. Selepas merdeka Melayu telah memasuki bidang baru, iaitu bidang politik, professional dan perniagaan dan terdedah kepada cabaran dalam negeri dan peringkat global. Didapati perlu bagi masyarakat Melayu menyesuaikan diri dengan menerap nilai nilai asing yang baik asalkan jatidiri bangsa tetap kukuh. Ini bererti Melayu perlu berubah asalkan identitinya sebagai bangsa Melayu tetap kekal, yakni bahasa, agama, budaya dan pakaian tetap sama tetapi dengan fokus dan penyesuaian diperlukan untuk pembangunan ummah. Ini dibuat asalkan jatidiri Melayu masih berteraskan ciri ciri asal.

Dalam ertikata lain, sikap kita harus terbuka dan tidak menolak unsur luaran seperti kemahiran berbahasa asing, ilmu dan nilai nilai yang baik untuk perniagaan, malah musik dari Barat yang perlu untuk memajukan ummah. Fokus Agama juga perlu disesuaikan seperti dalam konsep Islam Hadari yang diperkenalkan dalam era pemerintahan Pak Lah.

Nilai Murni sebagai unsur Budaya Niaga

Menyentuh nilai murni yang ada dalam masyarakat Melayu, ianya bersumber daripada nilai nilai yang dianjurkan dalam agama Islam. Nilai yang banyak diserap dalam masyarakat sejak lebih 800 tahun memeluk Islam, termasuklah nilai jujur, amanah, bersih, adil dan hormat menghormati dll. Nilai nilai ini agaknya bertapak lebih kukuh dalam masyarakat kerana sesuai dengan suasana dalam masyarakat luarbandar dan berasas tani.

Nilai nilai diatas adalah baik dan juga sesuai dalam alam perniagaan. Tetapi ia tidak cukup kerana alam perniagaan menghendaki nilai nilai tambahan seperti kerajinan dan displin kerja yang baik, sikap tekun dalam melaksanakan sesuatu tugas(persistence), dayatahan(resilience) atau kecekalan dalam menghadapi cabaran, kecenderungan menghadapi risiko, disiplin kewangan dan sikap ketegasan. Oleh kerana alam perniagaan merupakan alam baru bagi bangsa Melayu, maka nilai nilai ini belum cukup berkembang dalam masyarakat kita..

Selama lebih dua puluh tahun memegang jawatan kerajaan yang memerlukan berinteraksi dengan peniaga berbagai kaum dan bangsa, saya dapati nilai nilai tersebut diatas adalah sangat penting untuk kejayaan sesuatu perniagaan. Misalnya, untuk mendapat sesuatu kontrak kerajaan, tanah, hutan atau kelulusan projek sungguh memerlukan nilai kecekalan diri atau kesungguhan yang berterusan sebelum berjaya. Perlu diingatkan tidak ramai yang berjaya dalam permohonan mereka.

Sikap dayatahan yang cukup tinggi juga perlu untuk bertahan lama dalam perniagaan. Ini kerana jarang jarang perniagaan maju dengan serta merta, tetapi memerlukan masa yang sederhana lama sebelum menunjukkan kejayaan. Ada kalanya peniaga melalui masa kejatuhan sekali dua sebelum mencapai kestabilan.

Nilai disiplin kewangan pula amat penting tetapi masih pada tahap rendah dalam masyarakat Melayu. Nilai ini wujud dalam sesebuah perniagaan jika ada kemampuan mengawal wang atau modal perniagaan hanya untuk perbelanjaan perniagaan sahaja. Kelemahan wujud apabila wang perniagaan digunakan untuk perbelanjaan keluarga, seperti membeli perabot atau kereta yang tiada kaitan dengan perniagaan. Kerap kali ini berlaku tanpa menghirau kepentingan rakan niaga dan akhirnya menyebabkan kejatuhan sesebuah perniagaan.

Sikap cenderung kepada risiko(risk preference) kini masih pada tahap yang rendah dalam masyarakat Melayu. Ini bukan sifat semula jadi bangsa Melayu, kerana Melayu tidak takut risiko dalam hidup, malah Melayu tidak takut mati kerana pegangan Agama Islam mereka. Sebab itu Melayu ramai berkhidmat dalam Perkhidmatan Polis dan Angkatan Tentera. Tetpi Melayu menjauhi risiko perniagaan, takut rugi agaknya kerana sikap Masyarakat yang memandang rendah malah mengutuk kegagalan Perniagaan . Sikap ini perlu diperbetulkan, malah kaum keluarga harus digalak membantu ahli keluarga yang mengalami kegagalan yang munasabah.

Satu lagi nilai yang penting kepada usahawan Barat ialah matlamat membuat sebanyak mungkin keuntungan dan kecenderungan mengumpulkan harta sebanyak mana yang dapat. Inilah nilai penggerak utama sistem kapitalis Barat. Ini sesungguhnya bercanggah dengan nilai Agama Islam, jadi matlamat sistem kapitalis Barat perlu disesuaikan supaya tidak barcanggah dengan pegangan nilai bangsa Melayu yang beragama Islam. Ramai dikalangan para cendikiawan kita menganjurkan pendekatan secara Islam yang lebih sederhana, ia itu dengan mementingkan amal jariah dan sumbangan kepada kemajuan ummah dalam waktu yang sama menggalakkan usaha memajukan perniagaan. Bagi saya pendekatan inilah sebaik baiknya untuk masyarakat peniagaan Melayu dan beragama Islam.

Penerapan Nilai Murni Perlu Selari dengan Kemajuan Masyarakat

Nilai nilai murni seperti diatas boleh diajar dan difahami tetapi tidak mudah diamali dan mudah pula dilupai. Ini kerana sesuatu nilai hanya menunjukkan kesannya jika di amalkan dalam masyarakat. Jika masyarakat tidak memerlukannya ia tidak akan berkembang. Sebab itulah kebanyakan nilai ini tidak berkembang dalam masyarakat kita tetapi telah menjadi sebati dalam masyarakat China dan masyarakat maju yang lain.

Penerapan nilai murni ini tidak dapat dilaksanakan dengan cepat tanpa wujudnya golongan perniagaan yang subur dalam sesebuah masyarakat. Latihan boleh diteruskan untuk menyedarkan masyarakat tentang kewujudan nilai nilai ini, tetapi dengan tiada masyarakat perniagaan yang subur, pengetahuan ini hanya tinggal pengetahuan tanpa pegangan atau komitmen dalam masyarakat secara menyeluruh. Malah dalam masa yang singkat nialai nilai ini akan dilupai.

Dengan suasana yang ada sekarang, di mana tahap pencapaian usahawan Melayu masih rendah, peranan aktif kerajaan amatlah penting untuk memajukan masyarakat perniagaan Melayu/Bumiputera. Ini perlu bagi mewujudkan pertumbuhan golongan usahawan yang selari dengan penerapan nilai nilai murni dalam masyarakat, kearah membentuk masyarakat perniagaan yang berjaya.

Dalam perkara ini Dasar Kerajaan dan Peruntukan Perlembagaan bagi menjaga kepentingan dan Hak Melayu/Bumiputera masih relevan dan sangat diperlukan. Hanya Kerajaan perlu menangani kelemahan dalam melaksanakan program program yang berkaitan.

Saya nampak terlalu banyak kelemahan dalam perlaksanaan program kerajaan yang mengekang kemajuan masyarakat usahawan pada hari ini. Dari segi pendidikan dan latihan dalam bidang perniagaan, adalah diakui kerajaan telah melakukan yang terbaik. Ia telah mengwujudkan banyak institusi pengajian tinggi awam disamping puluhan institusi swasta yang mengendali program program latihan dalam segala bidang, termasuk bidang perniagaan dan yang berkaitan dengannya. Disamping itu, Kerajaan telah juga melaksanakan program program khas melatih usahawan Bumiputera.

Dari sudut lain Kerajaan telah menyediakan bermacam macam program yang menyediakan kemudahan seperti pinjaman mudah, premis perniagaan, kajian pasaran dan kajian kemungkinan projek, malah sebahagian modal niaga dan modal promosi pasaran.

Dari segi pasaran, kerajaan telah mengagihkan kontrak pembinaan dan pembekalan khas untuk bumiputera.

Semua program untuk Bumiputera ini sedikit sebanyak memberi gambaran yang golonganPeniaga Bumiputera dilayani seperti anak emas.

Jika itu hakikatnya, mengapakah mereka belum cukup berjaya? Apakah mungkin, layanan yang berlebihan sebegitu rupa yang membuat usahawan Bumiputera terlalu selesa sehingga hilang motivasi untuk bersaing? Jika begitu, mungkinkah prestasi usahawan Bumiputera dapat di tingkatkan dengan cara mewujud suasana yang lebih kompetitif? Dan bgaimanakah suansana ini boleh diwujudkan?

Sebaliknya, betulkah persepsi rakyat bahawa wujudnya pilihkasih dan kesilapan dalam pengagihan kontrak kerajaan dan perlaksanaan program penswastaan?

Jika betul, pasti gejala ini telah banyak menjejaskan pertumbuhan perniagaan Bumiputera, sekaligus melemahkan proses penerapan nilai nilai murni kedalam masyarakat.

Kerajaan Perlu Mengwujudkan Suasana Kompetitif

Kelemahankelemahan diatas menunjukkan betapa perlunya Kerajaan mengekalkan hak hak istimewa Melayu/Bumiputera dalam bidang perniagaan.

Ia juga menunjukkan betapa perlunya mengwujudkan suasana kompetitif, adil dan berlandaskan merit dalam perniagaan Bumiputera, terutama dalam pengagihan kontrak dan program penswastaan, dan kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam mengwujudkan suasana ini.

Perlu diingatkan, suasana kompetitif tidak mungkin wujud ketika tidak ramai daripada kaum Melayu/Bumiputera yang berkualiti berminat memasuki bidang perniagaan. Ini kerana wujudnya banyak pilihan untuk Melayu/Bumiputera di dalam bidang lain, terutama dalam sektor kerajaan.

Oleh itu kerajaan janganlah terlalu sensitif menyediakan peluang pekerjaan untuk Melayu/Bumiputera, samaada untuk graduan atau lepasan sekolah yang menganggur. Biarlah mereka memasuki sektor Kerajaan atas keperluan sumber tenaga kerajaan sahaja dan bukan atas sebab sebab lain. Strategi ini pasti akan menambah motivasi untuk anak Melayu yang berkualiti memasuki sektor perniagaan.

Saya yakin dengan adanya suasana yang kompetitif dikalangan usahawan Bumiputera, budaya niaga Melayu akan berkembang, sekaligus menjayakan perniaga Melayu/Bumiputera..

Update 14 Og0s 2010

Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak baru baru ini, nampaknya selari dengan saranan kita dalam banyak perkara, terutama penekanannya kepada modal insan Melayu danBumiputera lain dalam memajukan sektor  perniagaan kita.

Sekarang sudah ada program mengalakkan pegawai pegawai kerajaan untuk mencebur diri dalam alam perniagaan dengan memudahkan mereka bersara terlebih awal dan menyediakan kemudahan kursus keusahawanan dan bantuan kewangan.

Satu lagi pendekatan yang dicadangkan, pihak kerajaan perlu mengawal peluang untuk Bumiputera dalam perkhidmatan kerajaan berpandukan nisbah kaum di negara ini. Ini bukan sahaja menguwjudkan sektor perkhidmatan kerajaan yang seimbang dan kompetitif dari segi kaum, tetapi akan juga menggalakkan lebih ramai Bumiputera samaada dari kalangan graduan atau lepasan sekolah untuk menceburi bidang alternatif termasuk bidang  perniagaan.

DAH IKHWAN

Copyright (c) by DAH Ikhwan. This article or any part of it may be reproduced or quoted, but due credit must be given to the original author DAH Ikhwan.

This entry was posted in Alam Perniagaan Melayu/Bumiputera, Artikel Business and tagged , . Bookmark the permalink.

3 Responses to Evolusi Budaya Niaga dan Peranan Kerajaan

  1. Datuk,
    Alangkah baiknya jika ‘Keusahawanan”( entrepreneurship) diujudkan sebagai subjek khusus dalam sukatan pelajaran sekolah di peringkat awal lagi. Saya berpendapat ia boleh menyerapkan ‘ nilai-nilai murni’ secara spesifik kedalam jiwa dan pemikiran generasi muda kaum Melayu/bumiputera. Oleh itu saya anggap subjek seperti ‘Living Skills’ atau Kemahiran Hidup terlalu am dan tidak dapat memupuk nilai-nilai yang boleh membuat seseorang individu itu kompetitif dalam perniagaan.
    ( P.S. Thanks for dropping by my blog. Your blog is very ‘solid’ and insightful. Will recourse to it more often in future and a link to it. Salam. Mahmud.)

  2. DAH IKHWAN says:

    Saudara Mahmud,

    Terima kasih atas pandangan saudara. Saya sependapat dengan saudara supaya nilai nilai murni untuk perniagaan di ajar di peringkat sekolah, tetapi ia perlu selari dengan kemajuan Bumiputera sebagai masyarakat peniaga. Jika tidak, mata pelajaran seperti ini tidak mungkin diamal dan di terap ke dalam masyarakat sebagai unsur budaya.

    Oleh itu peranan kerajaan begitu penting bagi menggalak suasana kompetitif dalam perniagaan bumiputera. Ini tidak pula bererti menghapuskan quota Bumiputera untuk bersaing bebas dengan bukan Bumiputera.

    Yang perlu ialah persaingan kompetitif antara syarikat syarikat Bumiputera berasas merit, dan bukan kerana kaitan politik atau keluarga.

  3. Pingback: Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi (MBE) – 2011 | DAH IKHWAN Weblog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s