Model Baru Ekonomi: Wujudkan Suasana Kompetitif di Kalangan Bumiputera

Saya baru selesai mendengar ceramah Economic Transformation Program(ETP) atau dalam  Bahasa Melayu Program Transformasi Ekonomi, satu daripada tonggak Model Baru Ekonomi yang diperlukan untuk mencapai  matlamat  Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju .

YB Datuk Idris Jala, Menteri yang bertanggungjawab telah menghuraikan dengan jelas ETP ini yang di sediakan setelah menerima input dari lebih seribu peserta dalam beberapa siri lab(bengkel) yang diwujudkan diseluruh negara.

ETP mensasarkan Pendapatan Per Kapita Negara meningkat kepada US 15,000 menjelang tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan ekonomi tidak kurang daripada 8% setahun. Pada masa ini  Pendapatan Per Kapita Negara ialah di sekitar US 8,000, ia itu tergulung di antara negara berpendapatan sederhana di peringkat global.

Strategi ETP menyimpang daripada strategi pembangunan negara sebelumnya kerana ia tidak menekankan FDI  tetapi akan bergantung lebih kepada modal dari dalam negara untuk membiayai pembangunan yang dianggar menelan belanja sejumlah RM 1.4 trillion, dengan pembiayaan sektor swasta 92% dan selebihnya 8% daripada kerajaan.

Strategi ini nampaknya munasabah dan boleh dicapai  dengan adanya kerjasama daripada rakyat terutama pelabur pelabur tempatan.  Tetapi untuk menarik pelabur tempatan, suasana yang kondusif perlu wujud dalam negara, di antaranya  dari segi keselamatan penduduk, toleransi antara kaum dan  liberalisasi dalam hampir semua sektor ekonomi.

Tetapi apa yang kurang ditekankan ialah agenda Bumiputera, iaitu  bagaimana memantapkan ekonomi Bumiputera supaya tidak ketinggalan dalam keghairahan untuk menjadi negara maju. Ini kerana  modal yang diperlukan dari dalam negara sudah tentu sebahagian besarnya diharapkan daripada yang sedia ada dari kalangan bukan Bumiputera. Memandangkan syarikat Bukan Bumiputera lazimnya berkembang lebih cepat daripada syarikat Bumiputera, akibatnya  jurang pemilikan ekuiti diantara Bumiputera dengan bukan Bumiputera pasti  akan menjadi  lebih buruk.

Selama ini kita banyak bergantung dengan Dasar Ekonomi Baru untuk menambah ekuiti Bumiputera. Pendekatan ini ada  hasilnya melalui kuota Bumiputera dengan pengagihan saham berdiskaun, lesen perniagaan, lesen import kereta, quota tender kerajaan, penswastaan syarikat kerajaan, dsb. Tetapi hasilnya terhad kerana kerap disalahguna dan dialibabakan. Ia mampu menambah kekayaan dikalangan ramai juga Bumiputera tetapi pada keseluruhannya ia  gagal mengwujudkan masyarakat perniagaan Bumiputera yang mantap dan berdayasaing secara berkekalan.

Malah capital creation atau pertambahan ekuiti hasil daripada titik peluh Bumiputera sendiri sangat rendah  jika tidak mengambilkira ekuiti syarikat syarikat besar kerajaan yang diswastakan.

Oleh itu  bagi saya Model Baru Ekonomi perlu satu pendekatan baru disamping mengurangkan kuota dalam Dasar Ekonomi Baru secara berperingkat peringkat. Setakat ini saya belum nampak  idea yang bernas dari pakar akademik Melayu selain daripada pendapat ahli ahli akademik yang berkait rapat dan menjadi lidah penyambung dasar parti politik, sama ada parti kerajaan atau pembangkang.  Saya  percaya ramai mungkin tertunggu tunggu satu idea yang benas daripada Professor Di Raja Ungku Aziz demi masa depan ekonomi Bumiputera.

Pendekatan PERKASA dan Organisasi organisasi Ultra Melayu yang lain untuk mengekal serta menambah kuota bukanlah pendekatan yang bijak. Pendekatan ini telah dilaksanakan dalam DEB, tetapi hasilnya sungguh terhad.

Apakah yang lagi diperlukan untuk mengurangkan jurang ekuiti Bumiputera daripada ekuiti bukan Bumiputera? Diakui soalan ini sangat rumit dijawab, kerana ia agaknya banyak bergantung kepada kemampuan masyarakat Bumiputera itu sendiri, disamping political will kerajaan untuk mengwujudkan persekitaran yang kondusif untuk meningkatkan kemampuan  ummah dan entrepreneur(usahawan)  Bumiputera.

Dalam perkara ini kita bersaing dengan kaum Cina dan India yang asalnya berhijrah ke tanah air kita dalam abad ke 19 dan ke 20. Ramai daripada mereka terdiri dari peniaga peniaga dengan tujuan mencari peluang perniagaan dan mereka  memiliki  budaya niaga yang sememangnya mantap, diwarisi dari zaman berzaman.

Untuk bersaing dengan mereka,    kita perlu membina  masyarakat perniagaan dengan  menerapi budaya niaga yang baik termasuk nilai  murni  yang mampu meningkatkan daya saing kita. Tetapi bagaimana mungkin kita  mewujudkan semuanya ini dalam masa yang singkat, menjelang tahun 2020? Adakah ini suatu pendekatan yang praktikal memandangkan kegagalan sebelum ini? Dan apakah sepatutnya peranan kerajaan dalam perkara ini?

Usaha membangunkan  masyarakat niaga yang mantap bukanlah perkara mudah. Tidak cukup dengan hanya memberi latihan dan menyediakan pinjaman modal atau mengagihkan lesen atau pemit,  kerana pendekatan ini telahpun  diusahakan di zaman Dasar Ekonomi Baru dahulu. Malah kemudahan yang disediakan kerajaan kerap disalahgunakan, akibatnya tanpa suasana kompetitif ia gagal memberi hasil seperti yang diharapkan. Sebaliknya ia mengwujudkan suasana yang terlalu selesa di kalangan  Bumiputera, sehingga kebanyakan peniaga tidak memiliki keinginan untuk maju ketahap yang lebih tinggi, atau langsung gagal mempertahankan perniagaannya.

Sejarah sesuatu bangsa tidak mungkin di ubah. Sejarah kaum Cina yang mengalami kesempitan hidup ketika berhijrah ke Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah,  dengan berlatarbelakang budaya niaga yang mantap membolehkan mereka merebutkan peluang terbuka luas.

Masyarakat Melayu sebaliknya, dengan berlatar belakang hidup yang selesa sukar menghidu peluang yang ada walaupun dihadapan mata sendiri. Walaubagaimanapun ini tidak bererti nasib sesuatu bangsa tidak dapat diubah. ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri mengubahkannya’ – Surah  Al-Raad ayat 11.

Satu  pendekatan yang  amat sesuai untuk masyarakat Melayu agaknya dengan cara menamat atau  mengurangkan  suasana yang selesa, atau dalam bahasa Inggeris ‘move away from the comfort zone’. Dengan cara ini ia akan mengwujudkan suasana baru yang lebih kompetitif dalam jangka panjang walaupun dalam janga pendeknya ia memerlukan banyak pengorbanan dan semangat tolak ansur dalam berhadapan dengan  kaum bukan Bumiputera.

Dengan pendekatan ini, kuota Bumiputera yang di sediakan kerajaan dalam perniagaan seperti tender, pelbagai lesen  dan permit istimewa perlu dihapuskan berperingkat peringkat dalam masa sepuluh tahun akan datang, tetapi tertakluk kepada  peningkatan dalam kemampuan ummah. Setiap kemudahan yang masih ada hendaklah di agihkan secara tender  dikalangan peniaga Bumiputera yang layak dan  dipilih berasaskan  sistem merit. Dengan ini dijangka ia dapat mengwujudkan suasana atau budaya saing yang sihat dikalangan Bumiputera dalam sektor berkenaan.

Satu lagi tonggak dalam Model Baru Ekonomi ialah  Program Transformasi Kerajaan, terutama didalam Perkhidamat Awam.  Dalam perkara ini tahap effisiensi semua jabatan dan agensi kerajaan amat penting dalam menentukan perkhidmatan yang effisien dan bersih dalam semua sektor yang menggerakkan ekonomi dan sektor yang menjaga kemajuan sosial dan keselamatan negara. Gejala rasuah yang boleh melumpuhkan perkhidmatan kerajaan perlu dihapuskan.

Walau bagaimanapun usaha transformasi perkhidmatan kerajaan pernah dilaksanakan sejak dahulu lagi, dengan kesan yang terhad. Ramai masih ingat usaha usaha di zaman Tan Sri Ahmad Sarjji dahulu, semasa beliau  menjadi Ketua Setiausaha Negara. Bayak  inisiatif dan program telah beliau laksanakan dengan jayanya untuk mengwujudkan perkhidmatan kerajaan yang effisien. Usaha beliau amat dihargai oleh seluruh warga perkhidmatan awam.

Sungguhpun demikian,  terdapat masih banyak kelemahan yang ketara dalam perkhidmatan awam Malaysia, terutama gejala rasuah yang masih meluas dan kurangnya budaya saing dikalangan kakitangan kerajaan. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, cara penilaian untuk kenaikan pangkat berasaskan senioriti dan konco konco perlu dihapuskan.

Lebih dari itu saya rasa soal komposisi kaum dalam perkhidmatan awam perlu diubah selari dengan komposisi penduduk negara. Pada ketika ini terdapat 1.29 juta orang penjawat awam di Malaysia, terdiri Melayu/Bumiputera 85.7%, Cina 6% dan India 4% dan lain kaum 4.3%. Keadaan ini sesungguhnya tidak selari dengan komposisi kaum dalam negara.

Suasana yang lebih kompetitif atau berdayasaing lebih mudah wujud dalam perkhidmatan kerajaan dengan adanya nisbah yang lebih seimbang dalam perkhidmatan kerajaan. Ini kerana budaya  kerja setiap kaum tidak sama, dan berasaskan pengalaman  yang cukup lama  dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta saya boleh rumuskan secara amnya prestasi setiap kaum nampak bezanya dalam melaksanakan tugas mereka. Maka dengan cara memberi ruang yang lebih kepada  kaum bukan Bumiputera,  ini pasti mampu memupuk  suasana yang lebih kompetif dan efficien dalam perkhidmatan kerajaan.

Bagaimanapun nisbah kaum yang  lebih saksama nampaknya sudah  diamalkan dalam Institut Pengajian Tinggi Awam,  dari segi enrolmen pelajar. Misalnya dalam tahun 2010, jumlah kemasukan pelajar di IPTA  dan Politeknik di seluruh negara ialah 105,577 orang. Ini termasuk  40,366 orang diteirma masuk ke program ijazah di universiti, terdiri daripada pelajar Bumiputera 71%, Cina 23.7% dan India 5.7%. Nisbah diatas sudah hampir memuaskan dan diyakini mampu mendedahkan pelajar dari pelbagai kaum berinteraksi sambil memupuk suasana persaingan yang sihat.

Walaubagaimanapun ada baiknya jika pengambilan tenaga pengajar di IPTA  dibuat mengikut nisbah penduduk negara dengan sistem penilaian berasaskan sistem merit tidak mengira kaum, fahaman politik  atau kaitan lain dengan  pegawai atasan. Pendekatan begini perlu bagi meningkatkan mutu IPTA Malaysia berbanding IPT di luar negara.

Satu lagi sektor yang boleh distruktur semula ialah sektor GLC(Syarikat berkaitan kerajaan), terutama dalam taburan gunatenaganya mengikut nisbah kaum. Saya kurang arif tentang keadaan yang wujud dalam sektor GLC, tetapi jika belum terlaksana, eloklah pengambilan tenaga kerjanya berpandukan  nisbah kaum bagi penduduk Malaysia.

Sekiranya cadangan diatas dilaksanakan, ini bukan sahaja meningkatkan effisiensi dalam sektor sektor berkenaan, tetapi dengan peluang baru  dalam sektor kerajaan yang tidak seluas seperti yang ada,  ini akan mampu menambah penyertaan kaum Melayu/Bumiputera dalam sektor swasta  sebagai kakaitangan dalam syarikat yang sedia ada.

Sebilangan daripada Bumiputera yang tidak mendapat tempat dalam perkhidmatan kerajaan nanti,  boleh digalakkan  menjadi entrepreneur dengan memulakan perniagaan sendiri. Kerajaan pula perlu menyediakan pakej yang sesuai merangkumi latihan keusahawanan,  bantuan teknikal, pinjaman modal,  bantuan dalam pemasaran, dsb.

Dengan suasana baru yang wujud, ada yang menjangka Bumiputera akan hilang  banyak peluang pekerjaan. Saya yakin perkara ini tidak harus dibimbangkan kerana kinipun peluang pekerjaan dalam negara adalah cukup tinggi dengan kadar pengangguran diantara yang terendah dirantau ini, apalagi dengan kadar pertumbuhan ekonomi  yang dijangka lebih baik dalam masa sedekad yang akan datang menjelang wawasan 2020.

Sekian,  wallahu ‘alam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

DAH IKHWAN

This entry was posted in Alam Perniagaan Melayu/Bumiputera, Artikel Business, Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s